more-mob
  • whatsapp

Forum Perdana Ketiga

By: Dr Mohamad Maliki Bin Osman, Parliamentary Secretary for Community Development, Youth and Sports and National Development

By: Dr Mohamad Maliki Bin Osman, Parliamentary Secretary for Community Development, Youth and Sports and National Development


24 December 2005, 7.00 pm at Masjid Darussalam, Clementi (Malay Text)

En Aspar Anwar, Presiden Persatuan Pembangunan Moral dan Kemanusiaan

Dan juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Forum malam ini

Haji Mutalif Haji Hashim, Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Darussalam

Para Anggota Panel

Ustaz Haji Ali Bin Haji Mohamad

Ustaz Mohamad Hasbi Bin Hassan

Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Jumat

Moderator Ustaz Feisal Mohd Hassan

Para hadirin sekalian

        Assalammualaikum wr wb dan salam sejahtera untk semua

  1. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para Pemimpin Agama kita selaku Anggota Panel forum malam ini, kerana terus gigih berusaha memberikan panduan kepada masyarakat kita, lebih-lebih lagi dalam membetulkan salah tanggap terhadap pengertian sebenar jihad dalam Islam. Usaha ini juga bertujuan membetulkan interpretasi fahaman yang tidak betul sesetengah golongan pelampau yang menggunakannya mempengaruhi dan mencapai matlamat mereka. Saya gembira kerana ramai hadir pada malam ini. Kehadiran lebih 5000 orang di dua Forum yang lepas menunjukkan minat kita semua untuk ingin mengetahui dengan lebih lanjut daripada para asatizah dan pemimpin agama kita perihal topik yang menjadi isu hangat, kebelakangan ini. Kita harus menunjukkan komitmen dan kesungguhan kita untuk memahami erti sebenar istilah jihad.
  2. Para asatizah kita telah mempamerkan komitmen utuh dalam kerja-kerja mereka dalam ''Kumpulan Pemulihan Agama'' (Religious Rehabilitation Group). Kita berterima kasih atas usaha gigih dan ketekunan mereka. Kita juga berterima kasih kepada PERGAS, Persatuan Pembangunan Moral dan Kemanusiaan dan Masjid Darussalam yang telah mengambil inisiatif menganjurkan forum malam ini. Ia memberi gambaran jelas bahawa masyarakat kita berani menyuarakan tentangan terhadap tindakan atau fahaman yang memesongkan, yang bertujuan untuk memburukkan imej agama Islam - agama yang sebenarnya cintakan kedamaian.

    Masyarakat Kita Menangani Masalah Salah Ajaran Agama

  3. Forum malam ini merupakan kali ketiga dianjurkan, kali ini dengan tema ''Jihad Menentang Keganasan''. Minat mendalam pelbagai pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam hal ini menunjukkan masyarakat mengambil peduli dan bersedia untuk membetulkan salah tanggap terhadap konsep jihad, ba'iah dan sebagainya, menurut Islam. Hal ini penting demi memastikan anak-anak kita dan generasi akan datang dapat menikmati kehidupan beragama dengan lebih baik, tidak terperangkap dengan pandangan dan amalan yang membahayakan - fahaman salah sehingga tergamak melakukan serangan keganasan di mana-mana bahagian muka bumi ini. Forum-forum seperti yang diadakan malam ini juga memaparkan semangat kukuh bahawa kita bersedia berkerjasama dengan lain-lain masyarakat dan pemerintah, demi keamanan Negara -satu usaha murni dan matlamat yang sangat digalakkan Islam - al amr bi'l ma'ruf wa al nahy `an al munkar - menggalakkan amalan yang baik dan menjauhi segala kemungkaran.

    Setiap Muslim Ada Peranan Untuk Dilaksanakan

  4. Membetulkan salah faham dan tanggapan terhadap konsep Islam, bukanlah tugas yang harus dipikul oleh para pemimpin agama kita semata-mata. Semua masyarakat Islam mesti melengkapi diri mereka dengan ilmu agama agar kita dapat mengenal pasti ajaran-ajaran yang menyeleweng dan berkongsi dengan masyarakat lain bahawa agama kita tidak menggalakkan masyarakatnya mengasingkan diri malah, sebaliknya kita digalakkan agar sentiasa bersedia menyesuaikan diri dalam sekitaran yang berbeza.
  5. Sebagai masyarakat Islam Singapura, kita mesti menghargai dan faham akan keindahan dan keunggulan Islam sebagai cara hidup yang sempurna (Ad-deen) dan sedar bahawa ia sesuai untuk semua latar kehidupan, tidak kira di mana mereka berada. Pendekatan dan fahaman tersebut akan membantu kita untuk lebih yakin dalam membentuk masyarakat Islam yang lebih berjaya di Singapura. Ia akan memudahkan kita mengamalkan agama rasional dan ''legitimate'' atau sah dari segi undang-undang. Kita juga dapat terus memberi sumbangan dengan lebih berkesan kepada pembangunan masyarakat dan negara.
  6. Muis telah mengkaji secara menyeluruh dan mendalam konteks sosial kehidupan masyarakat Islam Singapura. Menerusi gabungan pandangan pelbagai pihak, Muis telah melakarkan ciri-ciri murni yang seharusnya wujud dalam kehidupan beragama kita. Salah satu ciri tersebut ialah agar masyarakat Islam Singapura mengamalkan dengan kukuh prinsip-prinsip agama di samping berupaya menyesuaikan dengan sekitaran kehidupan sosial Singapura yang lebih terbuka. Sementara kita berpegang teguh dengan amalan Islam secara sejagat atau universal, Islam juga menyeru kita untuk mengamalkan agama bersesuaian dengan masa dan tempat dengan bersandarkan konteks perubahan sekitaran. Saya harap kita dapat menerima nilai-nilai tersebut dengan dada terbuka dan fikiran luas serta memberi sumbangan aktif dalam kehidupan masyarakat Singapura dan negara sekular dan bersifat global.
  7. Kita tidak bersendirian dalam usaha tersebut. Di Sidang Organisasi Negara-Negara Islam (OIC), para pemimpin 50 negara Islam telah menyeru agar diwujudkan pendekatan kesederhanaan dan usaha bersama dalam menentang penyelewengan, keganasan dan penggugatan atas nama Islam. Berhampiran dengan kita, di Persidangan Tidak Rasmi Menteri Negara-Negara Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura (MABIMS) baru-baru ini, tema ''Membangun Masyarakat Islam Progresif'' telah diterima sebagai visi yang dikongsi semua negara peserta. Ini menunjukkan masyarakat Islam Singapura sedang berada di landasan yang betul dalam penakatan kehidupan mereka.

    Mendekati golongan muda: Tanggungjawab ibu bapa dan Masyarakat.

  8. Kita semua telah diberitahu bahawa pengeboman di kota London dilakukan oleh empat belia Islam British. Umur mereka antara 18 hingga 30 tahun dan mereka datang dari keluarga yang selesa kehidupannya. Mereka berbeza dengan para pengebom nekad di Indonesia yang datang daripada keluarga yang berlatarbelakangkan kemiskinan dan berpendidikan rendah.
  9. Di sini kita dapati bahawa sementara latar sosio-ekonomi dua kumpulan ini mungkin berbeza, setiap mereka masih boleh terpengaruh dengan kefahaman yang menyeleweng terhadap konsep seperti Jihad, jika mereka mempunyai ilmu agama yang cetek. Hal yang sama juga berlaku dengan rekrut JI di Singapura yang telah bermulakan dengan tujuan mencari pegertian agama dengan lebih mendalam tetapi mereka diperdayakan oleh pendakwah yang radikal yang menggalakkan pengganasan.
  10. Apa yang boleh kita pelajari daripada episod ini ialah pentingnya peranan ibu bapa dan masyarakat dalam mendekati golongan muda. Ibu bapa perlu sensitif dan sentiasa memerhati perubahan yang berlaku pada kelakuan dan kecenderungan fikiran (attitude) anak-anak mereka. Masyarakat perlu mendekati golongan muda ini dengan kegiatan dan usaha-usaha (processes) yang bermakna agar perhubungan antara golongan muda dengan masyarakat dan Negara dapat terus diperkuatkan. Kita perlu menggalakkan golongan muda mengambil berat isu masyarakat.

    Usaha-usaha Berterusan Memperkukuh keharmonian agama dan bangsa.

  11. Pengeboman di kota London, huru-hara di Paris dan pertelingakahan kaum golongan muda di Sydney baru-baru ini mengingatkan kita betapa pekanya isu hubungan kaum dan agama dan bagaimana natijah buruk boleh berlaku jika kita tidak sentiasa berwaspada. Kita tahu Singapura tidak kalis atau terkecuali daripada masalah tersebut. Kita bersyukur kerana pendekatan hubungan kaum di sini telah berjaya membantu menyemarakkan kefahaman yang baik sesama masyarakat, sekaligus menghapuskan syak wasangka dan salah tanggapan. Kita sama-sama menghargai pengalaman kehidupan pelbagai agama Singappura, menerima dan mengalu-alukan lain-lain kepercayaan dan pandangan. Tetapi kita tidak boleh menganggap mudah dan berpeluk tubuh akan hal ini. Kita perlu meluaskan lagi masej saling mempercayaai dan memahami serta menghayati antara kaum. Marilah kita berusaha bersama dengan lebih gigih lagi untuk memperkukuh jalinan fabrik masyarakat Singapura.

    Program Interaksi Masyarakat

  12. Pemerintah faham akan kepentingan keharmonian agama dan masyarakat serta pentingnya interaksi rakyat dalam mencapai matlamat ini. Kita harus sentiasa mencari jalan bagaimana kita dapat berinteraksi dengan lebih berkesan dan menyokong pemimpin masyarakat untuk memainkan peranan memupuk keserasian dan keyakinan, demi untuk mengelakkan insiden ketegangan hubungan masyarakat seperti yang berlaku di London, berlaku di Singapura. Para pemimpin masyarakat boleh memainkan peranan yang lebih utama untuk memenuhi matlamat tersebut. Kita agak bernasib baik kerana tidak perlu bermula dari tahap rendah lagi kerana telah banyak inisiatif dilakukan untuk memastikan langkah-kangkah proaktif perpaduan kaum dan membina muhibah terjalin antara pelbagai masyarakat. Saya yakin kita akan bangun bersama menghadapi apa jua cabaran. Kita telah melihat kekuatan tersebut ketika menangani dan menghadapi krisis seperti SARS.

    Akhir kata

  13. Istilah Jihad telah disalahertikan kumpulan pelampau dengan mempelopori ideologi pelampau mereka. Siri Forum Jihad ini adalah satu langkah penting untuk kita membetulkan keadaan tersebut dan memberikan istilah yang sebenarnya. Kita mesti memastikan masyarakat Islam benar-benar faham akan hal ini dan tidak akan terbawa-bawa dengan terjemahan ideology golongan pelampau. Insya-Alllah selagi kita melakukan pendekatan yang betul dan mendekati masyarakat lain, suara kita akan didengar dengan jelas dan terang - iaitu kita sama sekali menolak fahaman pengganasan dan pelampau - dan ideologi sebenar Islam adalah ideologi yang menggalakkan keamanan dan harmoni untuk hidup bersama dengan mengamalkan amalan baik dan dirahmati Allah.
  14. Dengan ini, saya berharap forum pada malam ini akan berlangsung dengan jaya dalam mencapai matlamatnya.
  15. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum wr wb

    MCYS Speech No: 66/2005
    Date Of Issue: 24/12/2005

Last updated on 02 May 2019
singapore